Wednesday, December 26, 2012

PEMBAYANG DULU-DULU - 50: KALAU NAK KAWIN LAGI.


asaplah api embun berderai,
patah galah haluan perahu;
kalau nak kawin lepas bercerai,
anak jangan buat tak tahu.


Friday, December 7, 2012

PEMBAYANG DULU-DULU 49: JANGANLAH NANTI.



dari mana hendak ke mana,
tinggi rumput darilah padi;
abang pergi tidaklah lama,
tapi adik janganlah nanti.



Wednesday, November 21, 2012

AWAK 17.


awak !

mata kita tercari-cari awak di celah-celah orang ramai,

walaupun kita sudah tahu awak tidak mungkin akan sampai,
alangkah gembiranya kita kalau awak ada bersama,
walaupun hanya sedikit masa cukuplah sekadar bertentang mata. 

awak !

entah kenapa kita merasa sunyi dalam sorak-sorai ini,

kita macam keseorangan di antara orang banyak ini,
kita rasa macam ada yang kurang dalam limpah ruah ini,
kita rasa macam kelam dalam kemilau cahaya ini.

awak !


tak acilah awak buat kita cenggini.



.

Saturday, October 27, 2012

PANTUN ANAK AYAM - 14.



anak ayam turunlah enam,
mati seekor tinggallah lima;
macamana hati tak rindu dendam,
belum puas bertentang mata.


.

Tuesday, October 16, 2012

PANTUN ANAK AYAM - 13.


anak ayam turunlah tujuh,
mati seekor tinggallah enam;
sayangkan tuan bertambah teguh,
tidak ku hairan ribut menggodam.

Wednesday, October 3, 2012

PANTUN ANAK AYAM - 12

Kali terakhir berpantun anak ayam adalah pada akhir tahun lalu di sini. Hari ini teringin nak sambung semula.
 
anak ayam turunlah lapan,
mati seekor tinggallah tujuh;
bila tersebut nama mu tuan,
ribut gelora ku rasa teduh.

Monday, September 10, 2012

AWAK - 16.

Memang kita kenal awak belum lama
tapi kita rasa awak dengan kita satu kepala
kadang-kadang kita rasa macam nak tergelak
dengan lurus bendul awak
walaupun awak gemar berborak
kita tidak pernah jelak
walaupun cerita awak, itu itu jugak.

Awak tahu tak kadang-kadang
awak tu sebenarnya cakap sorang-sorang
sebab kita hanya buat-buat macam mendengar
tapi fikiran kita sebenarnya entah ke mana berlegar.

Kita tak tahu apa perasaan awak kat kita
tapi terus terang kita cakap yang kita belum rasa apa-apa
kita pun khuatir kalau-kalau kita  tersuka kat awak
kita bimbang rasa itu kemudian nanti, tidak mampu kita tolak.

Kita tahu satu masa awak pasti akan tinggalkan kita
dan masa itu kini telah pun tiba
kita tahu awak  pergi dengan terpaksa
tapi kita tak upaya nak buat apa-apa
nak halang pun bukannya kita ada kuasa
apa-apa pun kita lega awak tinggalkan kita sekarang
sebelum rasa itu datang dan bersarang.

Namun begitu di dalam hati kita ada juga terasa
awak pergi tanpa beritahu apa yang awak rasa kat kita
sebab kengkadang kita rasa macam awak suka
dan kengkadang macam bena tak bena kat kita.

Tak acilah awak pergi cenggini
tanpa menzahirkan rasa hati
dan kita akan terus berteka teki.

 * ini adalah cereka semata-mata .. anggaplah ia macam novel yang bukan berdasarkan kisah benar.

Friday, August 24, 2012

PANTUN SAJA-SAJA 31: SEDANG BERGADUH LAGI DI KENANG.





selat teduh lautan tenang,
anak gelama bermain buih;
sedang bergaduh lagi di kenang,
inikan pula pernah berkasih.




Monday, August 6, 2012

PANTUN SAJA-SAJA 30: SEDANG GEMBIRA MASA MENUAI.



sedang suka memakan tapai,
ingat-ingatlah orang di dalam;
sedang gembira masa menuai,
ingat-ingatlah orang menanam.



Monday, July 23, 2012

PANTUN NASIHAT 7: JANGAN SUKA BAWA MULUT.




waktu senja usah ke laut,
nanti bekal di makan kera;
jangan suka membawa mulut,
cerita sejengkal jadi sedepa.

Wednesday, July 18, 2012

PANTUN SAJA-SAJA 29 : SELAMAT BERPUASA.




bulan mulia menjelang tiba,
tamatkan sengketa bermaafan kita;
berpuasalah kita menurut adabnya,
tidaklah hanya berlapar dahaga.

dari mana hendak ke mana,
tinggilah rumput si dari padi;
bersyukur kita pada Yang Kuasa,
ditemukan puasa sekali lagi.

 anak gelama dalam lautan,
mari dibawa di dalam raga;
moga berpuasa genap sebulan,
hikmahnya pula jangan dilupa.






* kecuali yang uzur sharie


Saturday, July 14, 2012

AWAK - 15.




awak !!!
kita sudah malas hendak berkata-kata lagi
sebab awak sering salah erti
kita kata kanan
awak ingat kiri
kita kata sana
awak ingat sini.




Friday, June 29, 2012

PANTUN SAJA-SAJA 28: HATI.


Semua parang adalah sama,
Yang berbeza cuma besinya;
Semua orang adalah sama,
Yang berbeza cuma hatinya.

Thursday, June 21, 2012

PEMBAYANG DULU-DULU 48: EMAS BERGANTANG.

.

apa guna kepuk di ladang,
kalau tidak berisi padi;
apa guna emas bergantang,
kalau tidak menenang hati.

 

Sunday, June 10, 2012

PANTUN SAJA-SAJA 27: PANAS KEMBALI SEJUK



pergi ke Lukut pikat tekukur,
dapat kibas belum bertanduk;
 hamba bersujud mengucap syukur,
bumi yang panas kembali sejuk.

Sunday, June 3, 2012

SUNYI DAN USANG.


dulu rumah ini penuh dengan ketawa riang
tak kira pagi ataupun petang
malamnya pulak terang benderang
kini terbiar sunyi dan usang.

dulu rumah ini tempat bertumpu
anak cucu berkumpul di hujung minggu
bertemu atuk dan nenek setia menunggu
begurau senda adik kakak dan juga pupu.

tetapi bila atuk dan nenek sudah tiada
dipanggil mengadap Maha Pencipta
rumah ini sudah tidak siapa lagi ambil peduli
hanya menanti masa untuk menyembah  bumi.

kini anak cucu sudah bergelar jutawan
hairan apa kepada rumah buruk yang sudah naik hutan
itulah hakikat sebuah kehidupan
tidak mampu lagi hendak bertahan.

Friday, May 11, 2012

PANTUN SAJA-SAJA 26: MANUSIA DAN HAIWAN


 
antara cawan tiada kelapa,
antara kelapa ada cawan;
antara haiwan tiada manusia,
antara manusia ada haiwan.



Wednesday, April 18, 2012

SYAIR KERETA PREVE.


Tersebutlah kisah sebuah kereta,
Gegak gempita masa lahirnya,
Tampan dan cekap kata empunya,
Tetapi  sayang Preve namanya.

Pendita Za'ba mungkin tersedu,
Mengenang nasib bahasa Melayu,
Kepada siapa hendak mengadu,
Mamak Menteri sudah setuju.

Katanya negeri penuh berdaulat,
Bahasa penjajah juga dijilat,
Cuma bersyair mampu ku buat,
Antara nafas tersekat-sekat.

Friday, April 13, 2012

PEMBAYANG DULU-DULU 47 : BUKIT DAH NAK BOTAK.




Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Ingatkan hutan tak kena tarah,
Gunung dan bukit sama sahaja.



* sebahagian banjaran gunung di belakang rumah saya yang semakin botak.

Thursday, March 22, 2012

PANTUN SAJA-SAJA 25: KECOH.

 Perhatian:  Entri ini dipamer secara serentak di kedua-dua blog saya.
.




Orang politik kalau bergaduh,
Keluar dewan  berpeluk-pelukan;
Orang kampung kalau bergaduh,
Tidak bertegur tujuh keturunan.

Orang politk kalau berbalah,
Keluar dewan berpegangan tangan;
Orang kampung kalau berbalah,
Bila sembahyang imam berasingan.


*  Tajuddin itu orang UMNO dan Salehuddin itu orang PAS.

Sunday, March 18, 2012

KITA BLOGGER SEPENUH MASA.

kita blogger sepenuh masa,
berblog mengalahkan orang-orang muda,
di tengah malam kekadang terjaga,
tergolek terlentang mencari idea,
kekadang ada orang yang suka,
kekadang kagum sendiri sahaja,
apa yang penting hendak dikira,
meluah semua yang menyesak dada.


Nota kaki: di ambil dan diubahsuai dari komen saya  dari entri Ujang Kutik di sini.

Monday, March 12, 2012

PEMBAYANG DULU 46: YANG KAYA DAN MISKIN



tinggi-tinggi si mata hari,
anak kerebau mati tertambat;
abang dah umrah berbelas kali,
adik merayu bantuan zakat.

Wednesday, February 29, 2012

PANTUN NASIHAT 6: AKIBAT BERLAKU BURUK.

Sudah agak lama rasanya saya tidak berpantun. Hati sentiasa teringat tetapi ilham tak kunjung tiba. Sehinggalah saya terjumpa pantun di bawah di dalam kitab tafsir al-Azhar hasil karya Dr. HAMKA. Menurut beliau, pantun ini adalah pantun lama orang Melayu, tetapi saya belum pernah lagi terjumpa. Saya sangat tertarik dengan rima yang sangat cantik dan mesej yang sangat baik yang terkandung di dalam pantun ini.


Awak dengan baju buruk awak,
Gantungkanlah, ampaikanlah;
Awak dengan laku buruk awak,
Tanggungkanlah, rasaikanlah.

Ada tak sesiapa yang pernah terbaca pantun tersebut sebelum ini ?


Saturday, February 11, 2012

PANTUN SAJA-SAJA 24: SI TUDUNG MERAH.

 .
HAI LAH SI TUDUNG MERAH,
TETIBA LIGAT BUKAN MAIN LAGI;
TERCARI-CARI ORANG YANG SUSAH,
BERBONDONG-BONDONG KE SANA KE MARI.

HAI LAH SI TUDUNG MERAH,
TETIBA BEREBUT INGIN BERBAKTI;
KENAPA DULU TAK BEGITU ENDAH,
UNTUK MELAWAT KAWASAN KAMI ?

HAI LAH SI TUDUNG MERAH,
TETIBA MUKA MU MANIS SEKALI;
SUDAH DEKATKAH MASA MEMANGKAH,
UNTUK MEMILIH TOK KETUA LAGI ?


Tuesday, January 24, 2012

PEMBAYANG DULU-DULU 45: SBPA.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjg2a8WgtlML95uqBDIzYqviSrYgs0oJealpqQZzxQjRt6NHJFwUIYFjAYtumW-lLXynEj88b9Lof2R3WtC6cX8L5VZzmxS2orhebeL12cg9e6o3Wjxj4drEZ6MVxAFHMQqxJTUj3KIhJVb/s1600/sbpa.jpg


tinggi-tinggi si mata hari,
anak kerbau mati tertambat;
gara-gara nak naik gaji,
harga barang semua meningkat.
 
lama sudah tidak ke ladang,
tinggilah rumput si dari padi;
orang senang bertambah senang,
orang miskin memakan hati.


Tuesday, January 10, 2012

PEMBAYANG DULU-DULU 44 : SRI PERDANA.



kalau roboh kota Melaka,
papan di Jawa saya dirikan;
kalau nak renovate Sri Perdana,
syarikat saya jangan lupakan.