Tuesday, April 30, 2013

PANTUN SAJA-SAJA 37: TIDAK TERCALON.


Tasik Banding riak beralun,
anak buaya berenang ke tepi,
hendak bertanding tidak tercalon
berkempenlah dia seorang diri.

Wednesday, April 24, 2013

AWAK 18.

 
 
awak !

selama ini kita serasi bersama,
ke mana-mana sahaja kita pasti berdua,
ke timur ke barat selatan atau utara,
awak kata apa pun terjadi awak tetap dengan kita,
mendengarnya hati kita senang tidak terkira,
serasa dunia ini kita yang punya.

awak !!

kenapa  pulak tiba-tiba perasaan awak bertukar benci,
apa yang kita buat atau kata semuanya tidak bererti,
macamlah tak ada apa yang baik pada kita selama ini,
kemanakah janji awak dulu yang ingin sehidup semati ?
takkanlah kerana hanya kita berlainan parti,
sanggup awak buat kita cenggini.

Tuesday, April 16, 2013

PANTUN ANAK AYAM - 15.

 
anak ayam turunlah lima,
mati seekor tinggallah empat;
mana gerangan orang semua,
puas ku cari merata tempat.

anak ayam turunlah empat,
mati seekor tinggallah tiga;
puas ku cari merat tempat,
tiada seorang hamba bersua.

anak ayam turunlah tiga,
mati seekor tinggallah dua;
tiada seorang hamba bersua,
duduklah hamba memendam rasa.

anak ayam turunlah dua,
mati seekor tinggallah satu;
dari duduk memendam rasa,
baiklah hamba menutup pintu.





Friday, April 12, 2013

PANTUN SAJA-SAJA 36: MUSIM ~ MENGUNDI ~ DATANG ~ LAGI.



musim mengundi dah datang lagi,
ramai calon ingin dipilih;
tapi tiada tambahan kerusi,
jika gagal usah bersedih.

ramai rasa diri terbaik,
jangan marah jikalau kalah;
pengundi sekarang semuanya cerdik,
terima sahaja takdirnya Allah.

pada yang menang haruslah ingat,
amanah pengundi perlu dijunjung;
jikalau tuan berlaku khianat,
siksa di sana tidak tertanggung.


Tuesday, April 9, 2013

PANTUN SAJA-SAJA 35: SIAPA YANG UNTUNG ?



anak napuh di dalam paya,
anak puyuh di dalam raga;
kita bergaduh rugi sehasta,
depa bergaduh untung sedepa.
 
anak sepat di bawah bangsal,
anak pacat di bawah tangga;
kita berpakat untung sejengkal,
depa berpakat untung sedepa.


.