Thursday, February 25, 2010

RINDU SENGSARA ...!

bila lama tidak bersua
rindu kian bersarang di jiwa
di kala jaga di kala lena
wajah mu di mana-mana
kenangan bahagia datang menerpa.

ke mana hendak ku lepaskan rindu ini
yang menekan rasa
yang menyeksa raga
hinggakan nak makan pun tak ada selera.

tetapi bila diri mu sudah ku milikki
baru terasa sengsara
baru tersedar derita
baru berderai si air mata.

namun dalam sengsara ini
yang ku pilih sendiri ..
aku bahagia.

dalam derita ini
yang ku cari sendiri ..
aku rela.

dalam derai air mata ini
yang ku tempah sendiri ..
 aku suka.

kerana sengsara, derita, dan air mata ini
mana boleh lawan sama ..
sambal belacan makngahnya !!!


*puisi kitar semula

* saya nak berehat sekejap dari buat entri baru.

Tuesday, February 23, 2010

PANTUN NASIHAT - 3

Siang menanam si pohon asam
Tanam di tepi si pohon ciku
Alang-alang menyeluk pekasam
Jangan menjadi penyeluk saku.

Peribahasa yang asalnya ialah:

"alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan"


Saya petik keterangan mengenainya dalam Bahasa Inggeris di sini (klik)

  • Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan

    • Literal translation: Since you happen to put your hand in a container full of pickles, might as well dip your whole arm in the container.

    • If you are going to do something, you might as well go all the way. This comes from the fact that the ripest pickles sink to the bottom, thus if a person is putting their hand in the jar, they might as well go all the way and take the best from the bottom of the jar. Compare to in for a penny, in for a pound.

Friday, February 19, 2010

PANTUN SAJA-SAJA - 1


Dari Seremban pergi Kemaman
Angin bertiup di celah bukit
Jauh perjalanan banyak pengalaman
Lama hidup banyak penyakit.



Gambar di atas menunjukkan pemandangan secara langsung melaui pintu belakang bilik beradu kami. Kelihatan pokok-pokok meliuk lintuk di tiup angin yang datang dari celah-celah Bukit Putus. (Sayang saya gagal upload videonya) Apabila melihat keindahan alam ini, kurang sikit rasanya sakit-sakit badan selepas selesai menjahit topi.

* videonya boleh di lihat di youtube.

Wednesday, February 17, 2010

PANTUN PERITBAHASA - 5

Kalau duduk rapat di hujung
Jangan di koyak kain sejadah
Kalau kaduk dah naik junjung
Janganlah awak cepat melatah.

Kaduk naik junjung merupakan satu peribahasa Melayu yang sarat dengan makna. Ia dijadikan satu peribahasa berdasarkan pengamatan nenek moyang kita terhadap kejadian alam ini selaras dengan falsafah "alam terkembang dijadikan guru" Apa maksudnya ? Saya telah terjumpa satu laman yang memberi penerangan yang cukup lengkap. Secara ringkasnya ia merujuk kepada satu perbuatan yang kalau dibiarkan lama kelamaan akan melampau batas. Untuk mengetahui maksud sepenuhnya anda cuma perlu klik di sini.

Tuesday, February 9, 2010

SELOKA KERJA BAHAGIAN PENTADBIRAN.

Saya pernah membuat sebuah seloka dan telah diterbitkan dalam buletin Kementerian tempat saya bekerja.
 Seloka ini menggambarkan perasaan warga yang bekerja di Bahagian Pentadbiran.
 Saya rasa ia diterbitkan bukan sebab seloka ini bagus sangat, tetapi mungkin di sebabkan Ketua Pengarang Buletin tersebut adalah saya sendiri.

Thursday, February 4, 2010

PANTUN PERITBAHASA - 4.

Larik-larik si batang bayam
Lama-lama jadilah comel
Carik-carik si bulu ayam
Lama-lama ayam pun togel.

Peribahasa sebetulnya:

Carik-carik bulu ayam
Lama- lama bercantum juga.

Maksudnya:

Kalau adik beradik gaduh macam mana pun, suatu hari nanti mereka akan berbaik-baik semula. Insyaallah. Lepas tu orang luar jangan nak mengada-ngada cari fasal !

Wednesday, February 3, 2010

MACAM PANTUN DULU-DULU - 2

Kalau berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Kalau berguru kepalang ajar,
Bagai apam tak berapa nak jadi.

Pantun yang sebetulnya adalah:

Kalau berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki,
Kalau berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Maksudnya.

Kalau belajar sesuatu ilmu itu, mesti sampai tamat. Tak kiralah belajar ilmu apa .. ilmu masak memasak ke, bersilat ke, mengaji Quran ke, memandu kereta ke .. belajar di sekolah apa tah lagi. Kalau kita belajar sekerat jalan, ia tidak akan membawa faedah kepada diri sendiri mahupun orang lain. Bahkan sebaliknya ia mungkin boleh membahayakan diri sendiri dan juga orang lain.