Kau tahu tak masa dulu-dulu ?
Aku yang menyuap mu
Sebelum kau pandai mengais
Kini kau anggap ku bagai pengemis
Aku bukan lagi orang pertama dituju
Kerana dari ku tiada apa lagi yang kau mahu
Hibanya hati hanya Tuhan yang tahu.
Kau ingat tak masa dulu-dulu?
Masa kau belajar bertatih
Rebah mu sentiasa ku sambut
Aku yang merawat luka mu di lutut
Kini kau sudah pandai berlari
Diri ku tidak kau toleh lagi
Pedihnya hati ini tidak terperi.
Kau sedar tak masa dulu-dulu ?
Kau sering terkeliru
Antara rama-rama dan kupu-kupu
Lalu bertanya bertalu-talu
Aku tidak pernah jemu-jemu
Memberitahu mu yang mana satu
Kini kau sudah serba tahu
Aku hanya penyibuk masa senggang mu.
Sayap mu kini sudah berbulu penuh
Hajat mu terbang merentas lautan teduh
Mencari pelangi untuk direngkuh
Terbanglah kemana saja semau mu
Kejarlah dan dakaplah pelangi itu.
Aku?
Aku akan tetap di sini
Menjadi pemerhati yang tidak pernah alpa
Penyelamat yang yang sentiasa waspada
Dan penunggu yang teramat setia
Kerana aku pasti
Kau akan kembali
Kerana pelangi itu ada di sini.
Dan seandainya kau terluka
Datang lah kepada ku tanpa ragu
Aku pasti tetap akan merawat mu
Seperti masa dulu-dulu.
Nota Kaki: Pernah tersiar di laman KomenSen dan diterbitkan semula di sini dengan sedikit ubahsuai.
.