Wednesday, September 30, 2009

PINGGAN TAK RETAK - 2

pinggan tak retak
nasi tak dingin
macamana dia tembak
mata dia julin'

pinggan tak retak
nasi tak dingin
potong pakai kapak
rejam pakai lembin'

pinggan tak retak
nasi tak dingin
walau gigi tak dak
teringin makan dagin'

Tuesday, September 29, 2009

PANTUN ANAKLAH AYAM - 1

anaklah ayam turun sepuluh
mati seekor tinggal sembilan
sakit sungguh tertusuk buluh
sakitlah lagi rindukan tuan.

anaklah ayam turun sepuluh
mati seekor tinggal sembilan
tuan ibarat minyak yang penuh
tidak setitik jatuh ke jalan.

anaklah ayam turun sepuluh
mati seekor tinggal sembilan
tuan ibarat bulan yang penuh
leka memuja lupa nak makan.

anaklah ayam turun sepuluh
mati seekor tinggal sembilan
sayangkan tuan dah jadi buluh
semasa rebung ku pandang ringan.

Sunday, September 27, 2009

SAJAK UNTUK YIN YIN !

bila ku memegang mu
pandanglah muka ku
pandanglah tepat-tepat
ke dalam anak mata ku
jangan alih pandangan
usah malu bertentangan.

bila memandang muka ku
pandanglah tepat-tepat
ke dalam anak mata ku
mengapa alih pandangan
mahal sungguh senyuman
untuk apa di simpan
bukankah senyuman
tak akan pernah kehabisan
walau sebanyak mana di berikan.

jangan biarkan aku kecewa
senyuman di simpan untuk siapa?

Monday, September 21, 2009

KALAU LAH ... 1

kalau lah tak pandai
tak ada hai
jangan buat-buat pandai
rumah besaq jadi bangsai
walhasil balik asai
nanti menyesai !

kalau lah pandai
jangan buat-buat tak pandai
nanti orang bingung bawak kapai
kok tersadai
kita yang terkapai-kapai
tak sampai ke pantai
nanti menyesai !

kalau lah tak pandai
buat-buat pandai
kalau lah pandai
buat-buat tak pandai
dua-dua cari pasai
dua-dua nanti menyesai !!!

Sunday, September 20, 2009

HARI INI HARI RAYA ...!

Kini tibalah masannya
Hari ini hari raya
Hari kemenangan buat kita semua
Selepas sebulan berpuasa.

Marilah kita sama-sama bergembira meraikannya
Dalam masa yang sama jangan di lupa pada yang tiada.

Kepada yang mengunjung blog ini, di kala ini ....
Sekali lagi di ucapkan selamat hari raya 'aidilfitri
Maaf zahir batin dari hati sanubari al-lavendari.

Wednesday, September 16, 2009

SELAMAT HARI RAYA ...!

walau mata tak pernah berpandangan
tangan tidak pernah bersalaman
bicara tidak pernah kedengaran
namun budi tetap kedapatan
rasa mungkin pernah terusik
hati mungkin pernah terjentik
apa lagi nak di kata
selamat hari raya
maaf zahir batin.

Saya peturunkan kembali nukilan dari blog KomenSen untuk peringatan diri sendiri dan mungkin juga sebagai iktibar kepada orang lain (kalau dah pernah baca ...tak apa, baca lagi sebab Melayu mudah lupa).

SEMOGA RAMADHAN 1430 INI ...

kelmarin aku melihat di kaca tv
ada famili makan nasi
beras gred bawah sekali
cuma sekali sehari
dengan sayur kangkung yang dipetik di pinggir kali
sekadar mengalas perut yang berbunyi
tidak pula ku lihat ada kerut di dahi.

sedang aku terbiasa makan nasi
beras wangi gred atas sekali
bila-bila mengikut kehendak hati
kekadang berkali-kali dalam sehari
dengan kari ikan tenggiri atau kurma bebiri
atau lain-lain makanan selayak tuan puteri
itu pun kekadang masih tidak puas hati
hanya kerana tiada sayur broccoli.

mengapa aku biadap sekali
seolah-olah merasa semua rezeki
sudah menjadi hak sendiri
terlupa akan segala yang dinikmati
adalah dari Rahmat mu jua wahai Ilahi
makhluk jenis apakah aku ini?

Ya Allah ya Tuhan ku
ampunilah daku
atas segala kelemahan ku
semoga Ramadhan 1430 ini
menginsfkan aku siapa diri.

Tuesday, September 15, 2009

KAU KINI DI SANA !

ibu !
kau kini di sana
dan anakanda masih di sini
ku tahu kau di mana
hati ini masih mencari.

ibu !
kau kini di sana
dan anakanda masih di sini
setiap menjelang hari raya
rindu pada mu tidak terperi.

ibu !
kau kini di sana
dan anakanda masih di sini
kelak bila sampai masanya
Ya Rabbi pertemukanlah kami.

ibu !
kau kini di sana
dan anakanda masih di sini
semoga kau aman di sana
sentiasa anakanda berdoa di sini.

ibu !
kau kini di sana
dan anakanda masih di sini
tak daya lagi ku berkata
air mata sudah membasah pipi.

Sunday, September 13, 2009

DUA TIGA KUCING BERLARI - 1

dua tiga kucing berlari
mana nak sama si kucing belang
patutlah pung bini mu benci
asyik berjalang, lupa nak makang.

dua tiga kucing berlari
mana nak sama si kucing belang
patutlah pung kawang mu lari
badan mu habis berbau ikang.


dua tiga kucing berlari
mana nak sama si kucing belang
mula-mula makang, macam tak sudi
bila dah makang, habis lima pinggang.

Friday, September 11, 2009

PUASA OH PUASA ...!

Friday, August 28, 2009

(Di pindahkan dari blog "KomenSen" untuk berkampung di sini)

Katanya puasa
mengajar erti kesabaran
tapi bila cukup masa
masing-masing berkejar-kejaran
ingin berdahulu-dahuluan
bawa kereta ... sedikit pun tak peduli orang kiri kanan
lantaklah kalau ada yang tersasar ke tepi jalan
asalkan tujuan ku sampai tanpa sebarang halangan
macamlah dia seorang sahaja yang ada tujuan
orang lain tak apa tidur di tengah jalan.

Katanya puasa
mengajar erti kelaparan
tapi bila beli juadah berbuka
masya-Allah ... habis semua jari di tangan
itu pun masih belum berpuas hati
kalau boleh gerai-gerai sekali hendak dibeli
nasib baik puasa hanya di fardukan di siang hari
kalau tidak ... tak tahulah apa nak jadi!

Haha hihi haha hihi ….


Posted by al-lavendari at 9:05 AM 13 comments
Labels:

Thursday, September 10, 2009

KAN KE SENANG!

kalau lah senang untuk senang
kan ke senang.

tapi bukan senang nak senang
lagi tak senang
kalau dah senang
ramai orang tak senang
tengok kita senang.

orang yang tak senang
tengok orang senang
hidup dia pun tak senang.

dia tak tahu
kalau lah semua orang senang
dia seorang tak senang
hidup dia pun senang.

dan dia pun tak tahu
kalau lah dia seorang senang
orang lain semua tak senang
hidup dia pun tak senang.

jadi kalau lah kita nak senang
jangan tak senang
tengok orang senang
biarlah dia orang senang
kalau semua orang senang
kita pun tumpang senang.

kan senang!

Monday, September 7, 2009

PEMBAYANG DULU-DULU - 1

lembu baru kereta pun baru
baru sekali masuk Melaka
tuan baru saya pun baru
habis kita nak tanya siapa?

nasi lemak buah bidara
sayang selasih saya lurutkan
buang emak buang saudara
habis siapa nak kasi kau makan?

tinggi-tinggi si mata hari
anak kerbau mati tertambat
P Ramlee dah pun ada Tan Sri
hajinya pulak siapa yang buat?

arak-arak kelapa puan
kalau tak puan kelapa bali
arak-arak ke rumah puan
pasal pulak kenduri tak jadi?

Saturday, September 5, 2009

KATA HATI - 1

bukannya aku tak tahu
dulu lagi
jauhari telah berpesan
kata hati jangan di turutkan
nanti merosak badan.

tapi ...
aku tak peduli
walau apa terjadi
akan ku turutkan juga kata hati
kalau tidak ...
kata siapa lagi?
kalau pun terpaksa mati
biarlah ... puas hati.

bukannya aku turut melulu
tetapi aku tahu
kata hati tak pernah tipu !

Friday, September 4, 2009

SIAKAP SENOHONG - 1

siakap senohong
gelama ikan duri
siapa curi dokong
lama-lama kena gari.

siakap senohong
gelama ikan duri
siapa tinggi hidung
nanti kena langgar lari.

siakap senohong
gelama ikan duri
jangan jalan menonong
nanti patah gigi.

siakap senohong
gelama ikan duri
mula-mula buka warong
lama-lama buka industri !

Thursday, September 3, 2009

TUHAN KU ... AMPUNILAH DAKU!

Tuhan-ku
aku tahu
sesungguhnya Engkau mampu
jika Kau mahu
saat ini
mengambil pendengaran ku
yang cenderong melayan perkara keliru.

Tuhan-ku
aku tahu
sesungguhnya Engkau mampu
jika Kau mahu
saat ini
mengambil penglihatan ku
yang gemar tersasar ke daerah biru.

Tuhan-ku
aku tahu
sesungguhnya Engkau mampu
jika Kau mahu
saat ini
mengambil upaya lidah ku
yang sering lalai menyebut nama Mu.

Tuhan-ku
aku tahu
sesungguhnya Engkau mampu
jika Kau mahu
saat ini
mengambil ingatan ku
yang kerap terlupa mengenang wujud Mu.

Tuhan-ku
aku tahu
sesungguhnya Engkau mampu
jika Kau mahu
saat ini
mengambil nafas ku
kerana pendengaran ku, penglihatan ku, lidah ku dan ingatan ku
dari limpah rahmat Mu
tidak membulat kepada Mu.

Tuhan ku
Ampunilah daku.

Wednesday, September 2, 2009

AWAK - 2

awak !
jika berjumpa awak dahulu satu kesilapan ...
biarlah
aku tak ingin di betulkan.

awak !
jika kelak timbul perasaan sayang
akan meresahkan...
biarlah
aku sudah jemu dengan kedamaian.

awak !
jika kelak sayang membenih rindu
akan menjadi gangguan ...
biarlah
aku sudah letih keseorangan.

awak !
jika takdirnya hanya aku yang bertepuk sebelah tangan ...
biarlah
aku tidak akan di timpa perasaan
kerana aku sudah lama punya teman
bernama ... al - Rahim dan al - Rahman.