Wednesday, April 18, 2012

SYAIR KERETA PREVE.


Tersebutlah kisah sebuah kereta,
Gegak gempita masa lahirnya,
Tampan dan cekap kata empunya,
Tetapi  sayang Preve namanya.

Pendita Za'ba mungkin tersedu,
Mengenang nasib bahasa Melayu,
Kepada siapa hendak mengadu,
Mamak Menteri sudah setuju.

Katanya negeri penuh berdaulat,
Bahasa penjajah juga dijilat,
Cuma bersyair mampu ku buat,
Antara nafas tersekat-sekat.

Friday, April 13, 2012

PEMBAYANG DULU-DULU 47 : BUKIT DAH NAK BOTAK.




Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Ingatkan hutan tak kena tarah,
Gunung dan bukit sama sahaja.



* sebahagian banjaran gunung di belakang rumah saya yang semakin botak.

Thursday, March 22, 2012

PANTUN SAJA-SAJA 25: KECOH.

 Perhatian:  Entri ini dipamer secara serentak di kedua-dua blog saya.
.




Orang politik kalau bergaduh,
Keluar dewan  berpeluk-pelukan;
Orang kampung kalau bergaduh,
Tidak bertegur tujuh keturunan.

Orang politk kalau berbalah,
Keluar dewan berpegangan tangan;
Orang kampung kalau berbalah,
Bila sembahyang imam berasingan.


*  Tajuddin itu orang UMNO dan Salehuddin itu orang PAS.

Sunday, March 18, 2012

KITA BLOGGER SEPENUH MASA.

kita blogger sepenuh masa,
berblog mengalahkan orang-orang muda,
di tengah malam kekadang terjaga,
tergolek terlentang mencari idea,
kekadang ada orang yang suka,
kekadang kagum sendiri sahaja,
apa yang penting hendak dikira,
meluah semua yang menyesak dada.


Nota kaki: di ambil dan diubahsuai dari komen saya  dari entri Ujang Kutik di sini.

Monday, March 12, 2012

PEMBAYANG DULU 46: YANG KAYA DAN MISKIN



tinggi-tinggi si mata hari,
anak kerebau mati tertambat;
abang dah umrah berbelas kali,
adik merayu bantuan zakat.