Wednesday, July 27, 2011

PANTUN NASIHAT 5 - JANGAN BANGUN LEWAT.

http://www.westcountygazette.com/blog/uploaded_images/homeless-762283.jpg
Gambar hiasan hasil carian Google.

pergi ke kebun membuang duri
bawa bekal rendang ketupat
kalau bangun meninggi hari
usah di kesal hidup merempat.



Wednesday, July 20, 2011

PEMBAYANG DULU-DULU - 39: TIMANG TINGGI-TINGGI



timang tinggi-tinggi
sampai cucur atap
sudah tak ada gaji
makan lauk kicap.

timang tinggi-tinggi
sampai cucur atap
dulu mesyuarat pagi
sekarang mesyuarat tingkap.

.

Monday, July 18, 2011

BUKANNYA AKU TAK SEDAR.




bukannya ku tak sedar kail ku cuma panjang sejengkal,
tapi ku letih mengail di tempat yang dangkal.

bukannya ku tak sedar sampan ku kecil cuba menduga lautan dalam,
tapi ku tidak berdaya membina kapal besar yang tahan tenggelam,
dan kalau sampan ku dihempas gelombang pasti aku kan karam,
apa nak buat, itu  memang sudah suratan alam,
berani buat terimalah natijahnya tanpa rasa dendam.

bukannya ku tak sedar aku ini hanyalah ikan kecil di lautan yang luas,
tapi salahkah aku ingin berenang-renang dan menyelam sehingga puas ?

bukannya ku tak sedar,
tapi kedegilan ku memang tegar.


.

Wednesday, July 6, 2011

PANTUN SAJA-SAJA 14: MENCARI SAHABAT.

http://1.bp.blogspot.com/-fkk6tPwT35c/TZQQQJcxIYI/AAAAAAAAAh4/OUj2khtjsnw/s1600/kawan.png

pergi ke hulu menjengok huma
bimbang padi patah di batang
jika tidur mu inginkan lena
sudah memberi usah di kenang. 

pohon beringin di tepi pantai
tanam padi di anak bukit
jika ingin sahabat yang ramai
sudah di beri jangan di ungkit.

.

Tuesday, July 5, 2011

PANDUAN RINGKAS CARA-CARA MENGARANG PANTUN.



Utusan Malaysia 9 Mac 2011

Saya terpanggil untuk membuat entri ini selepas membaca keratan akhbar di atas. Saya berasa amat bangga bila peserta-peserta dari luar negara menyelitkan pantun dalam pidato mereka.

Entri ini di buat berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya sahaja dan bukanlah tulisan yang ilmiah. Kalau ada kekurangan harap maafkan dan silalah beri komen yang membina. Saya juga sedar tidak ramai orang berminat untuk membacanya. Tak mengapalah.

Setiap pantun samada ia pantun dua kerat, empat kerat atau enam kerat, mesti ada pembayang dan maksud. Untuk lebih jelas, perhatikan contoh pantun berikut:

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

Pantun tersebut adalah pantun empat kerat. Rangkap pertama dan kedua pantun tersebut iaitu "kalau ada sumur di ladang, boleh kita menumpang mandi" adalah pembayang. Maksudnya pula adalah "kalau ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi".

Pembayang adalah klu (clue) ke atas maksud yang ingin disampaikan. Sesuai dengan istilahnya, pendengar yang arif sudah boleh meneka maksud sesuatu pantun hanya dengan mendengar pembayangnya sahaja. Oleh hal yang demikian, pembayang yang baik haruslah boleh memberi bayangan kepada maksud yang ingin disampaikan, bukannya memberi gambaran yang salah.

Kalau maksud pantunnya sedih, pembayangnya pun harus sedih. Kalau maksudnya negatif, pembayangnya juga harus negatif, dan begitulah seterusnya. Lihat sahaja pembayang pantun di atas. "Kalau ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi" memberi erti bahawa kita hanya boleh berjumpa kalau umur kita sama-sama panjang. Kalau dah meninggal, mana dapat berjumpa lagi.

Begitulah keadaannya dengan sumur (perigi). Kalau masih ada lagi sumur tersebut, maka bolehlah kita menumpang mandi. Kalau sumur tersebut sudah tidak ada lagi, maka tidak dapatlah kita hendak menumpang mandi lagi.

Alangkah cantiknya pembayang pantun tersebut yang dicipta oleh nenek moyang kita dahulu yang walaupun mungkin tidak bersekolah tinggi atau mungkin juga tidak bersekolah langsung, tetapi mempunyai ketajaman dan kebijaksanaan dalam menggubah pembayang yang begitu berseni, berkesan dan bermakna.

Cuba pula kita lihat pembayang yang saya rasa tak berapa cantik. Ia telah digubah oleh orang sekarang yang kalau tidak silap saya, pernah dinyanyikan oleh sebuah kumpulan nasyid sedikit masa dulu:

Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat bunganya serta buahnya,
Walapun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya.

Nampak tak maksud pantun dengan pembayangnya yang macam bertentangan. Pembayangnya membayangkan perkara yang elok-elok iaitu menceritakan tentang sepohon kayu yang mempunyai daun yang rimbun serta bunga dan buah yang lebat. Manakala maksudnya pula bertentangan iaitu mencela orang yang tidak sembahyang iaitu mereka yang mempunyai sifat yang tidak elok walaupun dikurniakan nikmat umur yang panjang.

Seterusnya saya akan bincangkan pantun dari aspek penyusunan rima pula. Berbanding dengan mencipta pembayang, menyusun rima adalah agak mudah sedikit.

Lihat contoh pantun yang mempunyai rima yang baik.


Rangkap 1. Pulau Pandan Jauh Ke Tengah
Rangkap 2. Gunung Daik Bercabang Tiga
Rangkap 3. Hancur Badan Di Kandung Tanah
Rangkap 4. Budi Yang Baik Di Pandang Juga.


Tumpukan kepada perkataan-perkataan yang diwarnakan.


Perkataan berwarna di rangkap 1 sama bunyinya dengan perkataan berwarna di rangkap 3. Pandan dengan Badan, Tengah dengan Tanah. Begitu juga perkataan yang berwarna  di rangkap 2 dengan rankap 4, Daik denga Baik dan Tiga dengan Juga.

Lihat pula contoh rima yang tak cantik.

Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat bunganya serta buahnya,
Walapun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya.


Bukankah jauh lari bunyi perkataan kayu dengan hidup dan bunganya dengan sembahyang !

Begitulah sedikit sebanyak apa yang saya tahu mengenainya menggubah pantun.



Lepas ni bolehlah masuk pertandingan berbalas pantun kat sini !

.