Friday, November 25, 2011

PANTUN SAJA-SAJA 23 - PENAT BERBLOG.



jika ke hulu memasang pukat,
jangan dituba ikan belida;
jika ku tahu berblog penat,
tidak ku cuba sedari mula.

riang-riang di pohon langsat,
di waktu malam berdendang sakan;
alang-alang sudah berdakwat,
biarlah hitam seluruh badan.




14 comments:

  1. Ke hulu sungai memasang pukat,
    pukar di pasang Pak Hassan,
    ada tika letih ada tika penat,
    bila dah mula perlu diteruskan.

    ReplyDelete
  2. pisang nangka dibuat pengat
    siap masak dibawa berkelah
    resam manusia letih dan dan penat
    berehatlah seketika lepaskan lelah

    mana yang baik jadikan teladan
    pepatah lama ada maknanya
    apalah guna menghitamkan badan
    kalau tak jelas asal tujuannya

    ReplyDelete
  3. Pergi ke laut terlupa pukat
    Ikan tak dapat, hatiku rawan
    Walaupun berblog memang penat
    Bukankah berbaloi mendapat kawan

    Ubi kayu mari disagat
    Dibuat pelbagai jenis penganan
    Cukuplah tangan hitam berdakwat
    Jangan dituang seluruh badan

    ReplyDelete
  4. alieza dayasari

    ke hulu sungai memasang pukat,
    pukat di pasang oleh Pak Hassan,
    itulah maksud alang berdakwat
    selagi daya ingin teruskan.

    ReplyDelete
  5. kakcik

    tarik papan sorong papan,
    sampai tercabut darah tersembur;
    menghitamkan badan hanya bidalan,
    tersirat maksud pantang berundur.

    p/s: kakcik. rehat pun badan je .. fikiran masih melayang kesana kemari !

    ReplyDelete
  6. dinas aldi

    pergi ke laut terlupa pukat,
    ikan tak dapat, hatiku rawan;
    memang berblog terasa penat,
    kerana kawan saya gagahkan.

    p/s: tak tuang ai !

    ReplyDelete
  7. Jika ke hulu memasang pukat,
    Jangan dituba ikan belida;
    Memang diakui berblog itu penat,
    Namun menasihati itu kerja mulia.

    Salam Maal Hijrah Tuan Haji..:)

    ReplyDelete
  8. teluk selirat sampan penambang,
    jala dan pukat tercarik sena;
    berblog ibarat bulan mengambang,
    bila dah dekat tak cantik mana.


    jangan dilebur jati mandiri,
    biar selesa berniaga kain;
    ku harapkan menghibur hati sendiri,
    kiranya terpaksa menjaga yang lain...

    olok-olok jer ni pakcik...

    ReplyDelete
  9. ust abd razak

    jika ke hulu memasang bubu,
    jangan dituba ikan belida;
    kalau ustaz kata begitu,
    patah sayap ku terbang jua.

    ReplyDelete
  10. queenie

    teluk terubuk tambatan sampan,
    pergi ke sana hendak memukat;
    benarkan blog ibarat bulan'
    sebab saya tak pernah dekat.

    ReplyDelete
  11. usah bersandar di dinding berkarat,
    teruskan berjalan biar tak tumbang;
    bulan sekadar tamsil ibarat,
    indah dikejauhan, bila dekat penuh lubang...

    haha

    ReplyDelete
  12. As-Salam Tuan Pembuka Kata
    Lama Hamba Tidak Menyapa
    Jari Di susun Maaf Di Pinta
    Izinkan Kembali Berpantun Bersama

    Berenang-Renang Si Ikan Kaloi
    Didalam Tasik Air Nya Subur
    Berblog Penat Tapi Berbaloi
    Komen Membuat hati Terhibur

    Jangan Dipandang Hinanya Hitam
    Putih Belum Tentu Baiknya
    Alang MeNgaji Biar Sampai Khatam
    Agar sempurna seluruh Juzuknya

    ReplyDelete
  13. queenie

    usah bersandar di dinding berkarat,
    teruskan berjalan biar tak tumbang;
    pandai awak bertamsil ibarat,
    benda yang samar kini dah terang.

    ReplyDelete
  14. eye_nee

    burung balam terbangnya senja,
    hinggap di tiang kayu sebatang;
    alaikumsalam jawapan saya,
    hati kembang tuan bertandang.

    berenang-renang si ikan kaloi,
    anak haruan termasuk jala;
    memang berblog sangat berbaloi,
    mendapat kawan berkongsi rasa.

    di tepi kali menanam bayam,
    datuk laksamana datang bertiga;
    walau mengaji berkali khatam,
    terus membaca dapat pahala.

    ReplyDelete

terima kasih kerana sudi singgah bermain-main di gelanggang ini !